Seorang gadis bertudung ayu wajah manis gula-gula. Pintar akalnya manakan tidak sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi. Sentiasa lantang berpendapat di sebuah laman sosial terkenal. Garapan tulisan tegas menyerlahkan pandangan hatinya. Segala apa yang tidak dipersetujui akan dibangkangnya. Penuh tegas dan berprinsip. Tidak kalah dengan lelaki-lelaki di luar sana.
Di hari yang lain, gadis yang sama seakan mengeluh jodohnya masih belum muncul. Barangkali hadir sedikit kesunyian di hatinya. Barangkali cemburu dengan rakan-rakannya yang sudah berpunya, yang sudah berumahtangga, yang sudah bercahaya mata.
Wahai gadis bertudung ayu wajah manis gula-gula. Berprinsip itu bagus, memberi pendapat itu molek, berpandangan sendiri itu hebat. Tetapi sedarlah wahai gadis, itu semua tidak cukup buatmu. Jaga, hiasi dan perelokkanlah peribadimu. Tidaklah bagus, tidaklah molek, tidaklah hebat sekiranya tulisan-tulisanmu itu dibaluti emosi. Kawallah emosi nescaya tidaklah lagi muncul tulisan-tulisan KESAT darimu yang menyerlahkan keperibadian akhlakmu yang sebenar.
Wahai gadis bertudung ayu wajah manis gula-gula. Keluarlah dari kurungan kamarmu, tutup paparan komputermu. Berjalanlah di luar sana dan lihatlah dunia. Di sebelah sini mereka berkata " Cahaya terus menerangi, air terus mengalir, ada jalan untuk ke seberang sudah cukup bagiku," di sebelah sana mereka berkata " Kita akan menerangkan cahaya yang kelihatan suram, kita akan pastikan air mengalir lebih deras, kita akan meluruskan jalan yang bengkok," di tengah sana pula mereka berkata " Kita perhatikan cahaya, kita perhatikan air, kita perhatikan jalan dan kita akan terus memerhatikan mereka yang di sebelah sana dan di sebelah sini," manakala yang di sebelah bawah berkata, " Kami tidak peduli dengan cahaya, air dan jalan kerana kami sudah punya cahaya, air dan jalan kami sendiri."
Lihatlah gadis, kamu ada pandangan kamu dan mereka ada pandangan mereka. Tidakkah itu normal? Berikanlah fakta di setiap tulisan-tulisanmu, dan garaplah ia dengan penuh santun sesuai dengan kemanisanmu agar ianya lebih membekas di hati mereka yang membacanya. Tidak mustahil, di suatu hari akan ada seseorang yang akan hadir dek kebagusan, kemolekan dan kehebatanmu seorang gadis bertudung ayu wajah manis gula-gula.
Saturday, March 17, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)